Oleh: Izzatie Rizan
SHAH ALAM: 16 tahun lalu, Yakob Kasmuri 61, tekad dengan keputusan melepaskan kerakyatan negara jiran demi menjadi warganegara Malaysia.
Semuanya dilakukan kerana terpikat dengan nikmat yang dilimpahkan kepada rakyat negara ini, hidup aman sentosa berbilang bangsa.
Meskipun tidak lahir di bumi bertuah Malaysia, setiap kali tanggal 31 Ogos, dia dan keluarganya begitu bersemangat meraikan sambutan Hari Kebangsaan negara.
Yakob yang berkongsi pengalaman paling indah penghijrahannya ke Malaysia berkata, bibit-bibit cinta kepada negara ini mula berputik apabila dia ditugaskan disini sekitar tahun 2003.
Dalam tempoh empat tahun di sini, dia berpeluang merasai semangat kebersamaan dalam persekitaran yang dilaluinya bersama rakan-rakan pelbagai agama dan bangsa, ditambahkan lagi dengan keramahan penduduk Malaysia.
“Saya memilih Malaysia bukan kerana saya orang melayu atau beragama Islam, tetapi sebagai orang melayu dan Islam saya nampak di negara ini rakyat bebas beragama… mengamalkan agama.
Orang Malaysia ini sangat ramah, anda boleh pergi ke pelbagai pelusuk negara tapi tak akan jumpa yang ramah-tamah seperti rakyat Malaysia,”katanya.
Yakob berkata dia tidak pernah menyesali tindakan yang dilakukannya kerana semuanya dibuat dengan kerelaan hati.
“Ketika melakukan penghijrahan ini, saya tidak mengetepikan keluarga, memang saya bincang dengan isteri sebab ketika itu anak-anak tengah membesar. Kami datang dari negara yang keadaan sosialnya berbeza jadi saya kena buat mereka benar-benar paham.
Maka sebab itu sangat-sangatlah sayang jika rakyat Malaysia sendiri tak nampak keindahan negara ini. Jika ada hasrat nak tinggalkan Malaysia pun nasihat saya pastikan buat keputusan dengan berfikir banyak kali sebab anda tidak akan jumpa negara yang menjaga rakyatnya seperti Malaysia,”ujarnya.
Yakob dan empat anaknya memiliki kewarganegaraan Malaysia pada 2007, manakala isterinya masih lagi pemegang kerakyatan negara jiran.
Hikmah menjadi rakyat Malaysia turut dikongsikan anaknya, Nurdiyana 33.
“Mula-mula bila ayah kata nak pindah Malaysia, saya memang sedih. Ayah selalu cakap nanti anak-anak akan paham kenapa keputusan ini dipilih.
Sekarang saya dah paham…ini memang penghijrahan terbaik, saya sangat bangga jadi anak Malaysia,” katanya.
Setiap kali menjelang 31 Ogos, Nurdiyana akan memastikan rumahnya dihiasi Jalur Gemilang.
Malah, sejak kecil lagi kata Nurdiyana, bagaikan satu kemestian baginya untuk menonton siaran langsung perarakan perbarisan Hari Kebangsaan setiap tahun di televisyen.