comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Yang di-Pertua Dewan Negara meninggal dunia

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, mendiang disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi tadi, selepas menerima rawatan di pusat kesihatan itu sejak 6 Mei lalu, setibanya di Malaysia dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi. 

Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian.

Menurut kenyataan itu lagi, keluarga mendiang Datuk Mutang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan.

Mereka turut menghargai ruang masa yang diberikan dalam menghadapi masa yang sukar ini.

Datuk Mutang Tagal, 70 tahun, telah dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan telah mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.

Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak dari tahun 1982 hingga 1990.

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis dalam bidang perundangan.

Pemergian beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini