Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Yayasan Didik Negara di bawah penyeliaan Kementerian Pendidikan (KPM) bertanggungjawab penuh untuk membantu pelajar-pelajar yang terkesan akibat bencana banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, yayasan tersebut komited dalam memastikan bantuan dan keperluan pelajar yang terjejas akibat bencana alam itu disediakan.
“Sebenarnya bantuan itu telahpun kita gerakkan berdasarkan kepada permintaan dan juga unjuran yang diterima mengenai kesusahan yang dihadapi berkenaan anak-anak (pelajar-pelajar) ini.
“Untuk makluman, Yayasan Didik Negara komited untuk memastikan dan menyalurkan bantuan keperluan murid kepada mereka yang terkesan akibat banjir.
“Dalam konteks ini Yayasan Didik Negara telahpun memastikan bahawa alat tulis dan barangan sekolah anak-anak ini akan dilengkapkan khusus yang akan mengambil peperiksaan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu sama ada kementerian ada menyediakan peruntukan khas kepada pelajar-pelajar serta bantuan untuk memasuki sesi persekolahan akan datang khusus kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM akan melihat keperluan untuk menyediakan bantuan kepada pelajar terjejas banjir yang akan melalui pembukaan sekolah nanti menerusi bantuan kecemasan Kewangan Amanah Pelajar Miskin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.