
KANGAR: Yang DiPertua PAS Kangar, Ustaz Yussaine Yahya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Perlis, di sini, tadi, atas tuduhan menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri menerusi penganjuran ceramah agama tanpa tauliah pada 30 Mac lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga Mudir sebuah maahad tahfiz al-Quran di Kangar didakwa menganjurkan ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub melalui program ‘Solat Terawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.
Perbuatan itu turut bertentangan dengan Titah Kenyataan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai Pematuham Terhadap Dasar dan Peraturan Berkaitan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Maahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machabg, Jalan Abi Batas Paip, Kangar pada 30 Mac lalu.
Dakwaan mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana menghina kuasa Raja Pemerintah dan Badan Agama Islam yang lain.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.
Siti Fatimah dalam pendakwaannya memohon mahkamah supaya memberi jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin termasuk seorang penjawat awam.
Pasukan peguam pula memohon agar jaminan tertuduh dikurangkan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin dan tertuduh kemudian membayar jaminan ditetapkan.
Perbicaraan semula kes ditetapkan pada 18 Januari depan.
Lebih 50 penyokong Ustaz Yussaine berkumpul di perkarangan mahkamah syariah bagi menunjukkan sokongan dan solidariti kepada tertuduh.
Suasana bagaimanapun terkawal dengan kehadiran anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.