Tumpuan :
Nasional

Yusoff Rawther akan kemuka representasi gugur tuduhan edar dadah, miliki senjata tiruan

Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther, akan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pucuk pistol tiruan yang dihadapinya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, 31, berkata representasi itu akan difailkan pihaknya dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.

“Bagi kedua-dua kes ini (dadah dan senjata tiruan) kita mohon untuk digugurkan terus dan tidak diteruskan langsung DNA (lepas dan bebas) bukan DNAA (lepas tanpa bebas),” kata peguam itu ketika ditemui media selepas sebutan kes di Mahkamah Majistret, hari ini.

Terdahulu Majistret M S Arunjothy membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman bagi memindahkan kes senjata tiruan yang dihadapi Muhammed Yusoff ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan bersama kes dadah.

Sementara itu, ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 7 Januari depan untuk pengurusan kes dadah yang dihadapi Muhammed Yusoff.

Muhammed Yusoff didakwa memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada jam 9.25 pagi, 6 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini