Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
BANGI: Pemimpin desa di seluruh negara diseru supaya mempunyai maklumat dan data komprehensif berhubung kawasan yang dipimpin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, data itu penting untuk memastikan bantuan dan program disalurkan dengan berkesan dan mengikut keutamaan.
“Sebaik-baiknya, kita tidak mahu lagi dengar komen-komen ‘balik-balik adik beradik, orang-orang dia sahaja dapat’.
“Ini bukan (amalan) biasa, mari kita berubah. Yang penting mereka yang layak memperolehi bantuan, wajib diberi keutamaan oleh kita semua,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dengan adanya data yang tepat, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) boleh membantu membangunkan aplikasi dua hala untuk memastikan bantuan disalurkan secara lancar, tanpa pertindihan dan efektif.
Menurutnya, aplikasi tersebut juga boleh digunakan untuk memaklumkan sebarang inisiatif kerajaan kepada rakyat serta membantu syarikat atau ‘start-up’ melihat potensi projek komuniti yang boleh dilaksanakan secara bersama.
Sementara itu, Ahmad Zahid mahu program pertukaran diwujudkan yang mana pemimpin komuniti berpeluang melawat dan mempelajari projek luar yang berjaya di kawasan lain.
Beliau yakin inisiatif terbabit akan mencetuskan idea baharu, menggalakkan pembelajaran silang dan membawa amalan terbaik ke komuniti masing-masing.
“Saya mencadangkan agar diwujudkan ruangan khas di Karnival Usahawan Desa (KUD) tahun hadapan yang akan dikenali sebagai pavilion Kampung Desa MADANI.
“Kita akan lakukan bersama FELDA sempena Hari Peneroka FELDA. KUD tahun lalu seramai 1.2 juta pengunjung, manakala Hari Peneroka FELDA tahun ini dikunjungi 550,000 orang.
“Matlamat saya, sasaran kita 2.5 juta pengunjung. Saya yakin ia boleh dicapai dengan syarat perlu kerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.