comscore
Tumpuan :
Nasional

“Zahid, Tok Mat perlu dibawa berunding tentukan anggota Kabinet”

Ahmad (kanan) bertemu ahli akar umbi pada majlis doa selamat di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP/Omar Ahmad

PONTIAN: Keutamaan pemilihan anggota Kabinet Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu dipilih mengikut hierarki atau struktur jawatan dalam parti yang menyokong gabungan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berharap pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan dipanggil berunding sebelum senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan.

Katanya, sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dirundingi dalam pembentukan dua Kabinet yang lalu.

“Kali ini, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN perlu dirundingi untuk buat keputusan pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Saya difahamkan ketika Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri Kelapan), Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dirundingi.

“Maka anggota Kabinet yang dilantik (Muhyiddin) itu tidak mengikut hierarki parti. Itu yang berlaku ketika Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

“Saya harap Anwar yang jadi Perdana Menteri ke-10, berunding dengan pucuk pimpinan parti terutama Presiden parti supaya ia jadi suara parti itu bukan orang-orang lain yang jadi suara parti. Ini adalah kebaikan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis doa selamat dan Ahli Parlimen Pontian di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, pemilihan calon TPM daripada BN bagi mengisi slot pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, dilaporkan berkata keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan ‘kembali’ kepada hierarki dan keputusan parti.

Sehubungan itu, beliau dilaporkan berkata, berdasarkan hierarki parti, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilaporkan mencadangkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, diketengahkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri yang mewakili gabungan itu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ditanya sama ada UMNO atau BN ada mencadangkan nama tertentu untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad yang menang kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, perkara itu akan ditentukan pucuk pimpinan parti.

“Adalah adil dan wajar untuk berbincang dengan presiden, timbalan dan kepimpinan utama parti untuk dipilih siapa yang terbaik untuk UMNO dan BN namakan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tentang Kabinet ini, siapa nama yang dipilih, pecahan bilangan setiap parti mahupun sama ada rundingan sudah selesai, saya tidak masuk campur. Kita serah pada pucuk pimpinan parti untuk buat pilihan daripada parti masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai bila senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan akan diumumkan, Ahmad berkata, ia dijangka minggu depan.

“Dijangkakan minggu depan bermula esok hingga Jumaat. Tarikh sebenar saya tidak tahu.

“Mengenai nama saya turut disebut-sebut menganggotai Kabinet, itu saya serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan UMNO dan BN,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini