Tumpuan :
Nasional

Zahnita dapat perintah perlindungan interim

KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson melahirkan rasa lega apabila Mahkamah Majistret Kuantan membenarkan permohonan untuk mendapat perintah perlindungan interim (IPO) terhadap suami, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46.

Zahnita atau nama penuh, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, dengan keputusan itu dia merasakan dirinya lebih bebas untuk keluar bersama anak-anak.

“Saya lega dan rasa lebih bebas sekarang untuk bergerak ke mana-mana termasuk ketika keluar dengan anak. Sekarang ini juga saya tinggal bersama ibu di Kuantan.

“Saya tidak mahu patah balik dengan keputusan diambil. Dia (suami) juga tidak boleh datang ganggu. Saya juga tidak akan layan sebarang pujukan,” katanya kepada BH.

Sebelum ini media melaporkan, permohonan Zahnita mendapatkan IPO diputuskan Majistret Wahida Zainal Abidin dalam prosiding di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

IPO adalah peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anak dan saudara-maranya.

Pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu juga nekad dengan keputusan bercerai dengan suami selepas memfailkannya pada 3 Disember lalu.

“Sekarang saya teruskan untuk perceraian secara fasakh. Saya hanya fikir supaya dia (suami) buat perkara betul sahaja. Saya mahu teruskan dengan kehidupan sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai kes keganasan rumah tangga yang dilakukan suami terhadap dirinya, Zahnita menyerahkan perkara itu kepada peguam

“Kes pukul saya serahkan kepada peguam untuk teruskannya. Sekarang saya dapat apa yang dimahukan untuk kes saya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan hantaran dimuat naik Zahnita di Instagram (IG) mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya yang lebam.

Rentetan itu, Zahnita dilapor berkata, sepanjang berumah tangga bersama Abdul Zackery Ghouse hidupnya umpama hamba sehingga tertanya mengapa diperlakukan sedemikian oleh suami sendiri.

Pada 5 Disember lalu, Abdul Zackery Ghouse didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.

Bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut pertuduhan, Abd Zackery Ghouse didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Zahnita di sebuah rumah di Indera Mahkota, Kuantan, jam 8.20 pagi pada 7 Mei lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini