Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PUTRAJAYA: Sektor ketiga dalam kewangan Islam seperti zakat, waqaf dan infak mempunyai peranan yang besar dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan saksama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sektor ini merangkumi organisasi dan institusi tidak berteraskan keuntungan serta badan sukarela.
“Mereka boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi terutamanya dalam memastikan kelestarian melalui inklusiviti atau keterangkuman kewangan.
“Sektor ketiga ini sering kali bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan sosial yang tidak boleh disediakan oleh sektor swasta atau awam.
“Sektor ini dapat menyokong pembangunan ekonomi dengan mencipta peluang pekerjaan dan memberikan sokongan kepada perniagaan nano, mikro dan kecil,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar.
Selain itu Datuk Seri Fadillah berkata, sektor ini dapat membantu memperkukuh ekonomi melalui peningkatan peranan perusahaan nano, mikro dan kecil melalui program-program yang dirancang bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan,
Dengan penyediaan latihan dan pendidikan kepada individu, sektor ketiga ini dapat membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“Ini bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan menghasilkan tenaga kerja yang lebih berkemampuan.
“Secara keseluruhannya, sektor ketiga adalah komponen penting dalam pembangunan ekonomi yang menyokong kesejahteraan masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan sosial, penglibatan komuniti, dan inovasi.
“Ia membantu membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan seimbang dari segi ekonomi dan sosial, sekaligus menjadikannya penting untuk pertumbuhan dan pembangunan jangka panjang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa