comscore
Tumpuan :
Hiburan

Zalif Sidek raih anugerah pelakon iklan popular di Indonesia

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zalif Sidek berkongsi rasa berbesar hati apabila dipilih untuk menerima penghargaan Anugerah Inspirasi dan Profesional Nombor 1 dari Majalah Penghargaan Indonesia.

Zalif ketika dihubungi berkata, ia satu kejutan buatnya dan bersyukur kerana pembabitan dalam iklan untuk produk dari negara itu mendapat perhatian.

“Alhamdulillah, ini menjadi satu kejutan buat saya. Saya anggap ini adalah rezeki keluarga terutama isteri dan anak yang bakal dilahirkan beberapa hari saja lagi.

“Dulu, saya pernah terbabit sebagai pelakon iklan untuk beberapa produk antaranya, dari Indonesia, Extra Joss. Mungkin dari situ, pihak penganjur melihat bakat dan pencapaian karier saya,” katanya kepada Harian Metro.

Sebagai anak seni, Zalif juga mengakui bahawa di Malaysia, belum ada acara pengiktirafan untuk mengangkat anak-anak seni yang berlakon iklan dan sebagainya.

“Di Malaysia, kebanyakan acara anugerah memberi tumpuan kepada pelakon drama dan filem.

“Tapi, di luar negara, memang dah ada acara yang mengangkat anak-anak seni dari bidang lain contohnya pelakon iklan, penari dan sebagainya,” katanya.

Dia bagaimanapun terpaksa menghantar wakil untuk menerima anugerah itu pada 27 Januari depan di Surabaya, Indonesia berikutan isterinya kini menanti tarikh kelahiran cahaya mata pertama mereka.

“Isteri saya dijangka bersalin pada 23 Januari ini. Jadi, kalau isteri saya dah bersalin nanti, mungkin saya akan hantar wakil dari Extra Joss untuk menerima anugerah itu,” katanya.

Wajah Zalif kerap kali mengisi iklan-iklan jenama antarabangsa selain Extra Joss antaranya, Mitsubishi, Expedia, jenama-jenama telekomunikasi serta minuman.

Loading...
Terkini