comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Zamzuri gigih sebar syiar Islam walaupun OKU 

PUTRAJAYA: “Kalau kira memang sumbangan saya tidak besar tetapi alhamdulillah, kejayaan ini membuktikan pentingnya golongan OKU dalam menyebarkan syiar Islam,” – Itu semangat ditunjukkan Zamzuri Ghani walaupun beliau orang kurang upaya (OKU) penglihatan .

Nyata, kekangan itu tidak menghalang Zamzuri menggunakan kepakaran dalam Braille untuk berdakwah hingga dinobatkan antara enam penerima anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 48 tahun itu aktif dalam penerbitan dan pengedaran al-Quran Braille dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Braille, selain menganjurkan kelas pengajian al-Quran Braille serta fardu ain.

Pengurus Operasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) itu turut terbabit dalam mewujudkan 58 bahan bacaan Islamiah kepada OKU penglihatan serta menyediakan buku teks di bawah Kementerian Pendidikan yang menjadi rujukan pelajar OKU penglihatan.

Anugerah dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Zamzuri ketika ditemui pemberita, berkata beliau tidak menyangka menerima anugerah yang begitu besar dan menganggapnya sebagai pengiktirafan untuk golongan OKU dan PERTIS.

Bapa kepada lima anak berusia setahun hingga 12 tahun itu, berkata beliau aktif membantu OKU penglihatan mengenai Islam dan membaca al-Quran melalui PERTIS sejak 2001.

“Pengajaran al-Quran menggunakan Braille amat membantu terutama OKU penglihatan berusia 18 tahun untuk menghafal,” katanya.

Sementara itu, lima lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW adalah Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, Datuk Kamarudin Abdullah dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (1994-2000), Datuk Misnu Taha.

Aktivis kebajikan haiwan, Datuk Dr Mhd Nordin Mohd Nor, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan bekas penjawat awam, Shaariah Dahman, turut diberi Anugerah Maulidur Rasul SAW.

Sementara itu, bekas Pemangku Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Syed Othman Syed Husin yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena Maulidur Rasul SAW tahun ini, berkata anugerah diterimanya itu akan menjadi pemangkin untuk dirinya lebih aktif menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat.

“Saya sebenarnya tidak terfikir diberikan anugerah berkenaan, ia adalah anugerah daripada Allah SWT dan saya akan berikan perkhidmatan baik kepada masyarakat,” katanya.

Majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’ itu diserikan dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Loading...
Terkini