comscore
Tumpuan :
Nasional

ZPP dedah individu ada simpanan KWSP lebih RM300,000 tapi mohon bantuan rumah zakat 

Amran (kiri) dan Roslan (dua dari kanan) pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemas Kini Data dan Penyerahan Sagu Hati Jawatankuasa Kariah Negeri Pinang, hari ini. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Zakat Pulau Pinang mendedahkan kerap menerima permohonan daripada individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap skim bantuan rumah yang ditawarkan kepada golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amran Hazali, berkata ada individu di negeri ini dikesan memohon bantuan rumah menerusi Skim Inapan Kasih yang diperkenalkan agensi itu, walaupun mempunyai simpanan lebih RM300,000 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas berusia 55 tahun.

Justeru, katanya, ZPP terpaksa memperketatkan syarat permohonan supaya wang pembayar zakat diuruskan dengan berhemah, meskipun agensi itu dikecam dan dimarahi pelbagai pihak.

“Kita mendapati mereka akan menggunakan pelbagai cara… contohnya antara syarat bagi sesiapa yang ingin memohon skim ini (bantuan rumah), perlu ada tanah sendiri.

“Mereka sanggup membeli tanah semata-mata hendak mendapatkan bantuan itu. Perkara sebegini sudah ternyata salah. Apabila kita dapat kenal pasti, memang kita akan tolak terus permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemas Kini Data dan Penyerahan Sagu Hati Jawatankuasa Kariah Negeri Pinang, di Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Roslan Ahmad.

Pada majlis itu,  lebih 100 sukarelawan diberi taklimat berhubung ZPP, termasuk cabaran dihadapi agensi berkenaan apabila terpaksa memperketatkan syarat permohonan terutama dalam Skim Inapan Kasih.

Amran berharap sukarelawan dapat membantu dari segi penyaluran maklumat tepat supaya wang pembayar zakat hanya diberikan kepada asnaf yang layak.

Beliau berkata, bantuan pembinaan rumah melalui skim itu bertujuan menyediakan tempat tinggal selesa kepada asnaf fakir atau miskin.

“Ia juga sebagai antara penyelesaian kepada masalah di Pulau Pinang dengan menyediakan kediaman baharu buat mereka,” katanya.

Untuk rekod, ZPP menyerahkan 22 unit rumah kepada asnaf yang layak pada tahun lalu membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM1.33 juta.

Loading...
Terkini