comscore
Tumpuan :
Negeri

1,000 Orang Dijangka Saksi Gerhana Bulan Penuh Di Masjid Cina

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Orang ramai yang ingin menyaksikan gerhana bulan penuh berpeluang melihat fenomena itu di Masjid Cina Al-Muttaqin, Krubong yang menjadi lokasi cerapan pada 8 November ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, fenomena itu diramal dapat dilihat dalam tempoh tiga jam antara 6.51 petang hingga 9.56 malam.

Selain cerapan gerhana bulan, turut diadakan solat gerhana bulan penuh dan perkongsian ilmu oleh ahli falak serta khutbah berkaitan gerhana.

“Kita jangka kehadiran antara 800 hingga 1,000 orang menyaksikan bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat penyelarasan di Masjid Cina, di sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, satu perhimpunan komuniti falak yang menghimpunkan seluruh kelab falak dari 18 sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) di Melaka turut diadakan pada hari berkenaan.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Sebagai penghayatan kepada masyarakat, pengisian program dan khutbah akan dikeluarkan Jabatan Mufti Melaka kepada semua masjid di seluruh negeri.

“Kita mengajak seluruh masyarakat Islam sama ada datang ke Masjid Cina untuk melihat fenomena itu atau ke masjid berdekatan untuk diberikan pengisian daripada sudut kerohanian, bacaan khutbah dan solat gerhana.

Dalam pada itu jelas beliau, pada fenomena itu, bulan, matahari dan bumi akan berada dalam satu garisan.

Bumi katanya, akan berada di antara bulan dan matahari dengan bulan akan kelihatan kemerah-merahan kerana berlaku biasan.

“Fenomena ini jarang berlaku, sekiranya cuaca mengizinkan pada hari tersebut, Insya-Allah ia dapat dilihat dengan mata kasar.

“Gerhana bulan penuh ini jarang berlaku dan orang ramai perlu mengambil peluang menyaksikan kejadian alam semesta ini,” katanya.

Program itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Loading...
Terkini