comscore
Tumpuan :
Negeri

APM Pulau Pinang Siap Sedia Hadapi Monsun Timur Laut

GEORGE TOWN:Seramai 74 pegawai dan 429 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada musim monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Pengarah APM Pulau Pinang Kolonel (PA) Ishak Mohd Radzi berkata kesemua tujuh Pusat Kawalan Operasi Daerah dan satu Pusat Kawalan Operasi Negeri turut diaktifkan kepada ‘mode bersedia’ bermula 24 Sept lepas untuk bertindak balas sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan dan bencana di negeri ini.

“Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan oleh agensi yang berkaitan, monsun Timur Laut pada tahun ini akan bermula pada November dan berakhir pada Mac 2023,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, bagi melancarkan tugas-tugas operasi yang berkaitan sebanyak 11 Light Rescue Vehicle (LVR), 15 Medical Rescue Vehicle (MRV), 10 Heavy Rescue Vehicle (HRV) dan yang terkini sebuah Medical Rescue Vehicle (MRV) 4×4 berada dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan bagi tugas-tugas operasi menyelamat.

Ishak berkata semua aset ini ialah aset darat yang digunakan bagi tujuan menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa dari kawasan bencana serta tugas-tugas memindahkan mangsa ke pusat-pusat pemindahan sementara yang dibuka.

Untuk aset menyelamat di air pula, beliau berkata sejumlah 39 unit bot fiber, 15 unit inflatable boat, 11 unit bot aluminium dan dua unit amphibia, menjadikan keseluruhan aset menyelamat di air berjumlah 67 unit, yang mampu digerakkan ke kawasan bencana yang memerlukan.

Tambahnya, APM Pulau Pinang juga telah berjaya melaksanakan pengagihan sejumlah 4,700 unit Cubical Tent (C-Tent) sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP) dan kesemua pejabat daerah di dalam negeri ini.

Dalam pada itu, Ishak berkata sehingga September ini, sebanyak 33 pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) berjaya ditubuhkan dengan 1,155 orang telah diberi latihan asas berkenaan dengan bantuan awal sekiranya berlaku bencana atau kecemasan.

”Pasukan CDERT yang telah ditubuhkan ini terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi politik yang berada di dalam negeri ini dan APM mengharapkan pasukan yang telah ditubuhkan ini akan menjadi kumpulan terawal untuk bertindak dalam situasi yang memerlukan,” katanya. -BERNAMA

Loading...
Terkini