comscore
Tumpuan :
Negeri

Jurubahasa mahkamah rugi lebih RM20,000, kereta rempuh tembok rumah

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang jurubahasa mahkamah kerugian lebih RM20,000 apabila tembok pagar batu rumah sewanya runtuh akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Bukit Senjuang di sini pagi tadi.

Kejadian jam 8 pagi itu juga mengakibatkan beberapa peralatan lain milik S. Saratha, 41 tahun, turut rosak termasuk sebuah motosikal dan dua basikal anaknya bernilai RM1,000.

Ekoran kejadian itu, katanya, dia membuat laporan polis bagi menuntut ganti rugi daripada pemandu kereta jenis Honda City berusia 28 tahun terhadap kerugian dialami keluarganya.

“Laporan polis sudah dibuat untuk tuntutan ganti rugi terhadap lelaki berusia 28 tahun itu yang memandu kereta jenis Honda City supaya menanggung segala kos baik pulih kerosakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menceritakan kejadian itu, Saratha berkata, dia terkejut daripada tidur apabila terdengar rempuhan kuat dari arah depan rumah pada jam 8 pagi.

“Apabila saya jengah di tingkap, saya terkejut mendapati sebuah kereta dalam keadaan remuk serta tembok dan pagar rumah sudah runtuh,” ujarnya.

Saratha yang bertugas di Mahkamah Ayer Keroh di sini bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa menimpa keluarganya ekoran kejadian tersebut.

Lazimnya, kata Saratha, dia sekeluarga sering bersarapan di beranda rumahnya pada hampir setiap pagi.

Namun ketika kejadian itu ujarnya, dia dan suami, P. Senthil Kumar, 45, bersama tiga anaknya masing-masing berusia 20, 15 dan 13 tahun, tidak bersarapan di beranda berkenaan kerana masih tidur.

“Mujurlah hari ini kami lima beranak tidak bersarapan di beranda rumah seperti kebiasaan, kalau tidak, tak tahulah apa nasib kami.

“Selalunya, kalau hari bekerja, kami sekeluarga akan meluangkan waktu sarapan bersama di beranda rumah, tetapi hari ini kami bangun lewat sikit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kes berkenaan ujarnya disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Loading...
Terkini