comscore
Tumpuan :
Negeri

Kerajaan Selangor Berdepan Risiko Saman RM1 Bilion

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor berisiko berdepan saman berjumlah RM1 bilion daripada syarikat pemaju, sekiranya tidak meneruskan siar warta status Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwartakan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri berisiko menanggung akibat itu berdasarkan perjanjian yang didakwanya, dibuat kerajaan negeri terdahulu terhadap siar warta berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri terdahulu termasuk bekas Menteri Besarnya, Dr Mohamad Khir Toyo, perlu mengambil tanggungjawab dan tidak lepas tangan dengan sewenang-wenangnya termasuk menyalahkan pentadbiran kini.

“Saman yang disebabkan oleh perjanjian dia (kerajaan negeri terdahulu)…kena tengok cermin tuduhan itu. Akibat perjanjian terhadap keputusan (kerajaan negeri terdahulu), kerajaan negeri terdedah sampai RM1 bilion (saman) disebabkan rampasan tanah yang dilaksanakan pada 2008.

“Beliau (Mohamad Khir) tidak boleh melepaskan tanggungjawab. Beliau perlu bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ‘Coffee Table Book’ bertajuk ‘Menelusuri Kisah Air Selangor’ yang diterbitkan sempena ulang tahun ketiga penubuhan Air Selangor.

Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata, kerajaan negeri meneruskan siar warta untuk penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 5 Mei lalu, bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa Mohamad Khir kecewa dengan tindakan pentadbiran Amirudin yang dilihat cuba lepas tangan daripada tanggungjawab di sebalik kontroversi pembangunan Bukit Cherakah, meskipun mempunyai kuasa untuk menghentikannya.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat alam sekitar bagi menangani kesan akibat perubahan iklim dan pemanasan global terhadap kawasan pantai di Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas data melalui kajian dilaksanakan institusi dari Jepun iaitu Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan agensi berkaitan diperoleh seawal-awalnya hujung tahun berhubung perkara terbabit.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya isytihar tanpa ada data atau kajian dilakukan pakar, hanya selepas itu kita akan fokus kepada bagaimana untuk menangani dan mengawal peningkatan paras air di kawasan pantai dan laut di Selangor,” katanya.

Ditanya mengenai penahanan enam individu yang membuat tuntutan palsu projek tebatan banjir di Selangor, bernilai hampir RM900,000, Amirudin berkata pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Ia mungkin proses (kes sebegitu menyebabkan banjir) apapun biar SPRM melaksanakan tugasnya,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini