comscore
Tumpuan :
Negeri

[VIDEO] Kerajaan Selangor rampas tanah jadi pusat sampah haram, rawat bau busuk ganggu penduduk

SERI KEMBANGAN: Kerajaan Selangor akan merampas tanah seluas lebih sembilan hektar di sini, yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram hingga menyebabkan pencemaran kolam takungan serta bau busuk di sekitar Puncak Jalil dan Bukit Serdang, di sini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, selepas meninjau tapak pembuangan sampah haram di Bukit Serdang, hari ini, yang menyebabkan lebih 10,000 penduduk sekitarnya terseksa dengan bau busuk dan meloyakan sejak beberapa bulan lalu.

Berdasarkan tinjauan itu, beliau mendapati isu bau busuk berkenaan berpunca daripada ‘leachate’ (bahan larut resap) atau air daripada sampah yang mengalir ke kolam berhampiran tapak pembuangan sampah haram.

Kolam itu kemudian mengalirkan leachate berkenaan melalui Kinrara sehingga ke kolam takungan di Puncak Jalil, menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan menghidu bau busuk, khususnya pada waktu malam dan ketika hujan.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan proses pengambilan dan rampasan 15 lot tanah sejak beberapa bulan lalu dan dijangka mampu diselesaikan seawal hujung tahun ini jika mendapat kerjasama semua pemilik tanah.

Amirudin mendengar taklimat mengenai tapak lumpusan sampah haram oleh Pegawai Daerah Petaling, Mohamad Md Yasin (kiri). – FOTO: NSTP

“Proses mengambil dan merampas tanah sudah bermula, tetapi ambil masa. Kita sudah keluarkan Notis 7A Kanun Tanah Negara untuk meminta pemilik tanah merawat dan membersihkan kawasan yang terkesan.

“Proses ini ambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan dan ia sudah tamat sekitar Jun atau Julai lalu. Sekarang kita serahkan pula Notis 7B iaitu siasatan yang perlukan tiga bulan, sebelum disusuli dengan Notis 8A iaitu tindakan rampas tanah.

“Sekarang, kita sudah serahkan Notis 7B kepada pemilik, namun saya jangka akhir tahun ini pun kita boleh selesaikan (proses rampasan tanah),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar; Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar dan Pegawai Daerah Petaling, Mohd Jusni Hashim.

Terdahulu, tinjauan wartawan ke lokasi pembuangan sampah haram itu mendapati kebanyakan sampah sudah diuruskan kerajaan negeri, namun jelas kelihatan air berwarna hitam yang berbau busuk mengalir ke bahagian bawah dan masuk ke dalam kolam.

Kawasan pembuangan sampah haram itu juga dilihat tidak terurus dengan laluan tanpa tar yang berlopak dan dipenuhi anjing liar, manakala laluan masuk diletakkan palang besi.

Amirudin berkata, aktiviti pelupusan sampah haram di situ sudah berjalan selama tujuh tahun sejak 2015, namun kerajaan negeri sudah menghentikannya sejak lebih setahun lalu.

“Sampah yang dibuang ini sudah lebih enam ke tujuh tahun, bermula 2015. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sudah lakukan beberapa tindakan, antaranya kompaun RM25,000 sebanyak dua tiga kali dan semuanya dibayar.

“Kita juga sudah pasang penghalang konkrit, namun ia dipecahkan,” katanya yang menjadi punca kerajaan negeri memutuskan untuk merampas tanah berkenaan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan menghubungi 15 pemilik tanah esok bagi membolehkan agensi dan anak syarikat Kerajaan Selangor mendapat kebenaran masuk ke kawasan pembuangan sampah haram itu dan memulakan proses rawatan leachate.

Beliau berkata, rawatan itu yang dijangka mengambil tempoh antara dua hingga tiga bulan dan dianggarkan menelan kos sehingga RM3 juta.

Katanya, jika pemilik tanah enggan bekerjasama, kerajaan negeri dan penduduk yang terkesan akan mengambil tindakan saman terhadap semua pemilik tanah kerana mencetus bau busuk dan kacau ganggu.

“Langkah segera pula kita akan buat ban atau halangan supaya air tidak mengalir ke kolam sedia ada, supaya air kolam itu juga tidak boleh mengalir ke kolam takungan di Puncak Jalil.

“Dalam beberapa minggu lagi, penduduk Puncak Jalil akan selesa sikit. Kita juga akan gunakan mikroorganisma bermanfaat (EM) untuk kurangkan bau busuk, tetapi ini hanya langkah sementara,” katanya.

Loading...
Terkini