comscore
Tumpuan :
Negeri

[VIDEO] “Mungkin bubar Dun serentak” – Aminuddin

Aminuddin pada sidang media di Seremban hari ini. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak dengan lima negeri yang lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata langkah itu bakal diambil susulan perbincangan secara tidak rasmi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri membabitkan lima negeri yang lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, pemimpin lima negeri itu membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Alhamdulillah, mereka semua (pemimpin negeri) nampak bersetuju dan kita akan bersama membuat keputusan (pembubaran Dun).

“Namun begitu ia membabitkan peringkat Menteri Besar dan Ketua Menteri, tapi kita ada Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Presiden serta rakan lain juga ada pemimpin utama yang perlu dirujuk.

“Bagi kami di peringkat awal ini telah memberi kata putus bahawa kita akan bersama (bubar Dun serentak) bagi mengadakan PRN secara bersama. Mesej ini kita akan sampaikan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) berkata, langkah mengadakan PRN secara serentak di lima negeri berkenaan akan dapat memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, tindakan itu juga dapat menjimatkan wang selain memudahkan urusan pengundi untuk pulang ke kampung dan sebagainya.

Katanya, bagaimanapun tarikh sebenar bagi PRN itu belum ditetapkan dan kemungkinan ia akan diadakan sebaik tempoh penggal ini berakhir.

“Kalau boleh kita selesaikan sekali supaya tumpuan berikutnya dapat diberikan kepada urusan dan tugas pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Aminuddin membayangkan bahawa PRN akan diadakan selepas Aidilfitri iaitu sekitar Jun tahun depan.

Loading...
Terkini