comscore
Tumpuan :
Negeri

Pekebun Buntu Serangan Gajah Liar Tiada Penyelesaian

KUALA BERANG: Lebih 30 pekebun pisang, getah dan kelapa sawit di Kampung Basong di sini menanggung kerugian ratusan ribu ringgit selepas tanaman mereka musnah akibat serangan kumpulan gajah liar sejak empat tahun lepas.

Pekebun pisang, Ahmadul Masrah Alias, 27, berkata gajah liar tersebut muncul di kampungnya hampir setiap hari sejak tiga minggu lepas sehingga membuatkan para pekebun buntu memikirkan jalan penyelesaiannya.

“Sebelum ini gajah hanya berkeliaran di kawasan kebun yang berhampiran hutan tetapi dua hari lepas haiwan tersebut telah berani masuk ke kebun saya yang terletak bersebelahan jalan utama.

“Kira-kira 1,200 pokok pisang, lapan pokok durian Musang King dan durian kampung serta 40 anak pokok kelapa sawit dan 30 pokok kelapa sawit yang hampir mengeluarkan hasil dimusnahkan kumpulan gajah tersebut. Semua tanaman itu saya usahakan sendiri di kebun seluas 0.8 hektar sejak dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya akibat kejadian itu dia menanggung kerugian kira-kira RM30,000 termasuk wang simpanan RM20,000 yang telah digunakan sebagai modal untuk mengusahakan kebun itu.

Sementara itu, peserta Tanaman Getah Berkelompok Cerluk di kampung itu, Mohd Salleh Hamid, 49, berkata ancaman gajah yang tidak berkesudahan itu menyebabkan dia dan 16 pekebun lain hampir berputus asa untuk mengusahakan tanaman mereka.

Katanya pekebun yang mengusahakan getah masing-masing seluas dua hektar kerugian RM6,000 seorang iaitu modal yang dikeluarkan sejak 2020 untuk memulakan tanaman itu, termasuk kos upah tanam pokok dan racun.

“Sekiranya tiada serangan gajah, kami yang masing-masing mengusahakan sekitar 1,000 pokok getah dijangka beroleh hasil RM6,000 sebulan pada 2025 nanti. Kami tanam getah secara berperingkat tetapi ia sering dimusnahkan gajah dan kami cuba untuk bertahan selain menunggu tindakan daripada pihak berwajib,” katanya.

Seorang daripada enam pekebun kelapa sawit Kampung Basong, Manan Yunus, 56, pula kerugian RM30,000 apabila 55 pokok sawit di kebun seluas 0.4 hetar miliknya dimusnahkan gajah yang kali terakhir muncul di situ dua hari lepas.

“Saya difahamkan banyak ekor gajah liar masuk ke kampung ini dan kos untuk mengusir atau memindahkan haiwan itu oleh Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) bukan sedikit. Jadi, saya mohon pihak berwajib termasuk Perhilitan agar lakukan sesuatu, mungkin dengan bantu kami pasang pagar elektrik kerana kalau pasang sendiri kosnya agak tinggi,” katanya.

Bagi Mamat Mat Amin, 71, pula berkata kehadiran gajah turut menggusarkan kira-kira 700 penduduk kampung kerana haiwan liar itu semakin berani memasuki kawasan rumah membuatkan keselamatan mereka kini terancam.

“Habis pokok yang ditanam di sekeliling rumah dimusnahkan gajah. Anak-anak orang kampung yang bekerja di Tasik Kenyir juga berasa takut kerana hampir setiap hari terserempak dengan gajah semasa dalam perjalanan ke tempat kerja,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini