comscore
Tumpuan :
Negeri

PKNM bakal dikenali MCorp

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) bakal dikenali sebagai Melaka Corporation atau MCorp, tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penjenamaan semula itu bercirikan komersial dan mempunyai elemen korporat sesuai dengan transformasi semasa.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada 1971, PKNM memainkan peranan besar dalam mengembangkan ekonomi Melaka.

Usaha itu jelasnya, terbukti apabila Melaka kini menjadi pilihan utama pelabur antarabangsa terutama yang mahu bertapak di Malaysia.

“Peranan utama PKNM adalah memajukan sosio ekonomi Negeri Melaka membabitkan empat bidang utama iaitu perindustrian, pelancongan, perumahan, perniagaan dan perdagangan.

“Antara usaha PKNM yang telah membuahkan hasil ialah membangunkan kawasan perindustrian yang mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada anak jati Melaka.

“Kira-kira 15 peratus atau 150,000 daripada satu juta rakyat Melaka mendapat faedah menerusi peluang pekerjaan ditawarkan hasil pelaburan yang masuk ke negeri ini terutama daripada syarikat Jerman yang membawa jumlah paling besar,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Sentuhan Aspirasi PKNM Bersama #Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini.

Hadir sama Lembaga Pengarah PKNM Datuk Mohamad Azmi Sabt dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Mashitah Ismail.

Pada majlis sama, Ab Rauf menyampaikan bantuan kepada koperasi selain hadiah utama kepada pemenang cabutan bertuah dan pertandingan melukis kanak-kanak.

Loading...
Terkini