comscore
Tumpuan :
Negeri

PRN Negeri Sembilan mungkin selepas Aidilfitri tahun depan

Datuk Seri Aminuddin Harun.

SEREMBAN: Kerajaan negeri memberi bayangan kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Negeri Sembilan akan diadakan selepas perayaan Aidilfitri tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tarikh itu dianggap sesuai sebelum genapnya lima tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Bagaimanapun pihaknya akan mendapatkan kesepakatan dari segi tarikh berkenaan dengan dua lagi negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang akan mengadakan PRN tahun depan.

“Kita akan bincang secara bersama bagi menetapkan tarikh yang sesuai untuk membolehkan PRN diadakan secara serentak bagi negeri di bawah PH, namun adalah lebih baik turut membabitkan tiga lagi negeri (di bawah Perikatan Nasional).

“Adalah lebih baik diadakan secara serentak ke semua enam negeri yang terbabit termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Ada dua kemungkinan iaitu sebelum musim haji atau selepas musim haji 2023,” katanya Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, setakat ini perkara membabitkan pembubaran DUN belum dibincangkan antara pemimpin PH.

Beliau bagaimanapun sedia meneliti sebarang cadangan untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi tujuan membubarkan DUN dan mengadakan PRN.

“Kita sedia menerima sebarang cadangan dan tarikh sesuai untuk PRN sebelum atau sesudah musim haji dan mungkin juga boleh diawalkan sebelum Ramadan. Kita akan lihat kesesuaiannya,” katanya.

Sebelum ini, Aminuddin menjelaskan bahawa kerajaan negeri menegaskan pihaknya tidak bercadang untuk membubarkan DUN dalam tempoh terdekat.

Beliau menjangkakan hanya membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN sehingga habis penggal pemerintahan, sekitar Jun tahun depan.

Loading...
Terkini