comscore
Tumpuan :
Nasional

“Rakaman video tular dieksploitasi pihak tertentu” – Pengarah Imigresen Sabah

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan satu video tular yang memaparkan keadaan fizikal tahanan yang kurus di Depoh Tahanan Imigresen Kimanis adalah disebabkan oleh layanan buruk agensi itu.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata rakaman itu telah dieksploitasi oleh pihak tertentu dan pihaknya menjelaskan tidak berlaku sebarang penindasan terhadap tahanan.

“Berdasarkan kepada rakaman video tular didapati keadaan fizikal tahanan telah dieksploitasikan oleh pihak tertentu. Oleh itu, jabatan ingin membuat penafian bahawa tidak berlaku sebarang penindasan terhadap tahanan terutama dari segi pemberian bekalan makanan dan perubatan sehingga keadaan fizikal mereka seperti yang terdapat dalam rakaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sh Sitti turut memaklumkan bahawa sebahagian besar tahanan di Depot adalah mereka yang telah selesai menjalani hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang negara kerana terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak sihat.

Tahanan-tahanan terbabit kemudiannya telah diserahkan kepada JIM Sabah setelah tamat menjalani hukuman bagi tujuan penghantaran atau pemindahan balik ke negara asal.

Justeru Sh Sitti turut menjelaskan penahanan dan pengurusan tahanan berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran Dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003.

Kesemua tahanan yang ditahan adalah dipastikan mendapat layanan dan pengurusan yang sewajarnya, baik dari segi bekalan makanan mahupun rawatan perubatan.

“Depot Imigresen juga adalah merupakan tempat untuk menahan warganegara asing bagi tujuan siasatan dan untuk menentukan status kewarganegaraan sebenar mereka sebelum dihantar balik / dipindahkan ke negara asal. Proses penghantaran / pemindahan balik ini hanya akan dapat dilakukan setelah mendapat pengesahan daripada pihak kedutaan negara masing-masing.

“Sebaik mendapat pengesahan, pihak kedutaan akan mengeluarkan dokumen perjalanan berkaitan (Travel Document – bagi warganegara Filipina / Sijil Perjalanan Laksana Paspor – bagi warganegara Indonesia) sebagai perakuan meraka adalah warganegara terlibat.” katanya.

Pada tahun 2022 jelas Sh Sitti penghantaran balik atau pemindahan ke negara asal bagi tahanan warganegara Filipina yang ditahan di Depot-Depot Imigresen Sabah hanya bermula pada 6 September 2022 disebabkan faktor penutupan pintu masuk di Filipina terutama Pelabuhan Zamboanga akibat pendemik COVID-19.

Setakat 9 Disember 2022, JIM Sabah telah mengusir dan menghantar balik seramai 3004 orang tahanan warganegara Filipina, 2166 orang tahanan warganegara Indonesia dan 224 orang tahanan lain-lain warganegara menjadikan keseluruhan adalah seramai 5394 orang tahanan yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan tugas-tugas JIM Sabah serta menggugat ketenteraman awam.

“Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan penghantaran balik / pemindahan tahanan warganegara asing setelah mereka melalui semua proses perundangan serta setelah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing,” katanya

Pagi tadi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menafikan perkara sama dalam satu sidang media selepas taklimat pengoperasian JIM bersama pengurusan tertinggi agensi itu di Putrajaya,

Jelas Saifuddin, tahanan terbabit telah diberikan makluman oleh JIM bahawa keadaan fizikal tahanan terbabit adalah sememangnya kurus dan susut sebelum memasuki depoh tahanan itu.

Semalam, tular satu video berdurasi 90 saat memaparkan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Solomon merayu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor agar dia dan rakannya dibebaskan secepat mungkin.

Loading...
Terkini