comscore
Tumpuan :
Negeri

Semalam boleh pulang, hari ini ke PPS semula

Dewan SMK Abdul Rahman Talib dibuka semula hari ini bagi menempatkan mangsa banjir dari Lorong Mesra, Kampung Batu 7.

TELUK INTAN: Tidak sampai 24 jam pulang semula ke rumah selepas sebulan berada di pusat pemindahan sementara (PPS), penduduk Lorong Mesra, Kampung Batu 7 dekat sini terpaksa berpindah semula ke PPS hari ini apabila rumah mereka dimasuki air banjir semula.

Menurut seorang mangsa, Rashidah Daghus, 35, dia sekeluarga baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah pada tengahari semalam, namun jam 2 pagi tadi rumahnya ditengelami air semula.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata hujan berterusan yang bermula jam 6 petang semalam menyebabkan air bah naik begitu laju.

Rashidah Daghus dan keluarga terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sementara walau baru sahaja dibenarkan pulang semalam.

“Air masuk ke rumah laju, kelam-kabut kami selamatkan kereta dan motorsikal.

“Memang tak dapat nak tidur, pukul 7 pagi tadi baru kami berpindah ke sini,” kata Rashidah ketika ditemui di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dekat sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Ani Rosmadi, 42, berkata dia sekeluarga sudah pun mencuci rumah mereka pada pagi semalam.

“Pagi semalam kami cuci rumah, petang sudah air banjir dah masuk rumah.

“Mahu kata lelah pun saya tak tahu, sebab isu banjir ini setiap tahun.

“Barang-barang dalam rumah rosak tenggelam tidak apa, janji anak-anak selamat,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri Perak setakat jam 4 petang tadi, jumlah mereka yang terjejas banjir adalah 75 mangsa daripada 18 keluarga melibatkan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Hilir Perak.

Di daerah LMS, 46 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Sungai Ara, Batu Kurau. Hilir Perak pula merekodkan 29 mangsa daripada lima keluarga yang melibatkan pembukaan semula PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib.

Loading...
Terkini