comscore
Tumpuan :
Negeri

Status Ketua Pembangkang Selangor akan diteliti selepas Kabinet dibentuk

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail ditemui media selepas sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam.

SHAH ALAM: Kedudukan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diteliti semula berikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, berkata perkara berkenaan akan diputuskan dalam masa terdekat selepas Kabinet dibentuk berikutan Barisan Nasional (BN) kini adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kita tengok perkembangan senario ini. BN adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Pembentukan Kabinet dalam masa terdekat, mungkin hari ini atau esok.

“Jadi kita di peringkat Selangor akan teliti. Bagi saya masih terlalu awal sebab kita perlu susunan (pembentukan Kabinet) di Putrajaya terlebih dahulu dan kemudian menyusul di negeri.

“Saya akan serahkan (perkara) ini kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menguruskan perbincangan,” katanya ketika diminta mengulas status BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan pada sidang media di Sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata, kedudukan DUN Selangor akan disusun semula sekiranya beliau mendapat arahan seterusnya namun setakat ini belum ada perbincangan dan arahan daripada Menteri Besar.

“Setakat ini, mereka akan kekal sebagai pembangkang, beliau (Datuk Rizam Ismail – BN Sungai Air Tawar) masih berperanan sebagai pembangkang dalam perbahasan.

“Kemungkinan dan kebarangkalian (kekal) sebagai pembangkang agak kecil. Kemungkinan ada (tidak lama lagi), BN akan di blok kerajaan sehingga tempoh pembubaran DUN,” kata Naib Pengerusi DAP Selangor itu.

Sementara itu, Rizam selaku Ketua Pembangkang Selangor memberitahu media, Badan Perhubungan UMNO Selangor dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

“Belum ada apa-apa arahan, saya sedang menunggu. Insya-Allah sehari dua ini ada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor, mungkin di situ akan ada beberapa pengumuman oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) yang baharu.

“Buat masa ini, saya masih pembangkang untuk semak dan imbang kepada kerajaan negeri bagi memastikan segala dasar kerajaan negeri dapat dibuat kepada rakyat di Selangor, khususnya ketika ini apabila rakyat terkesan dengan COVID-19, selain masalah ekonomi yang melanda dunia hari ini.

“Saya serah kepada pucuk pimpinan BN untuk meletakkan hala tuju BN Selangor sebab fokus saya adalah perjuangkan nasib rakyat, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang sebab kedua-duanya mempunyai peranan untuk memastikan rakyat terbela,” katanya.

Komposisi terkini kerusi DUN Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (15) AMANAH (enam), UMNO (lima), BERSATU (empat), PEJUANG dan Parti Bangsa Malaysia masing-masing dua, manakala PAS, WARISAN serta BEBAS, masing-masing satu kerusi.

Loading...
Terkini