comscore
Tumpuan :
Negeri

Tunggu pandangan penasihat undang-undang berhubung cuti umum

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

JERANTUT: Kerajaan negeri Pahang menunggu pandangan penasihat undang-undang negeri sebelum mengisytiharkan cuti umum pada 18 Nov, iaitu sehari sebelum hari pengundian, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata perkara itu memerlukan perincian teliti memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang telah dibubarkan pada 14 Okt lepas bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya telah berbincang dengan penasihat undang-undang negeri… sama ada saya boleh atau tidak mengisytiharkan cuti. Saya masih menunggu jawapan mereka, kalau boleh isytihar saya akan beritahu dalam masa terdekat,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas melancar projek Rumah Pahang untuk generasi baharu FELDA di Felda Sungai Retang di sini hari ini.

Sebelum ini, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah mengumumkan 18 Nov sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi luar pulang ke kawasan pengundian bagi menunaikan kewajipan mereka pada PRU15.

Sementara itu mengulas mengenai projek yang dilancarkan hari ini Wan Rosdy berkata, rumah-rumah berkenaan dibangunkan di tapak projek rumah generasi baharu yang terbengkalai, melibatkan 1,850 unit rumah di daerah Jerantut, Maran, Kuantan dan Rompin, yang dijenamakan sebagai Rumah Pahang.

Ia melibatkan rumah teres seluas 800 kaki persegi yang dibina di kawasan seluas 1,400 kaki persegi dan dijual pada harga RM120,000, dengan keutamaan pembeli adalah dalam kalangan generasi kedua FELDA.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di Pahang mempunyai kediaman sendiri,” katanya.

Wan Rosdy berkata selain Rumah Pahang, antara insiatif lain bagi membantu rakyat memiliki rumah oleh kerajaan negeri ialah Rumah Rakyat Pahang yang diberikan percuma kepada yang layak, selain pelaksanaan Rumah PR1MA dan Rumah Makmur yang dijual lebih murah daripada harga pasaran.

Menurutnya selain itu kerajaan negeri juga melaksanakan Skim Tanah Warisan yang menawarkan lot tanah dengan bayaran premium RM10,000 bagi tujuan membina kediaman sendiri. – BERNAMA

Loading...
Terkini