comscore
Tumpuan :
Operasi

 Jangan Kaitkan Isu Kaum Pada Operasi Serbu Bengkel Ubah Suai Motosikal

Foto: Metro

GEORGETOWN: Polis negeri ini meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan isu kaum susulan operasi bersepadu yang dijalankan terhadap bengkel ubah suai motosikal di negeri ini semalam, yang disyaki bagi tujuan aktiviti lumba haram serta rempit.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua bengkel yang diperiksa, terlebih dahulu dikenal pasti menerusi hasil risikan oleh pihaknya.

Katanya, serbuan juga dibuat secara rambang terhadap bengkel yang dikenal-pasti sama ada terbabit dalam pengubahsuaian secara haram atau sebaliknya.

“Saya turut membaca ulasan dan pandangan netizen mengenai operasi itu dan bukan sahaja bengkel, tetapi penahanan mat rempit turut dipolemikkan dalam konteks bangsa.

“Kita lihat pada data penahanannya yang mana ramai penunggang motosikal berkenaan berbangsa Melayu, jadi tangkapannya mestilah bangsa Melayu.

“Kepada pemilik bengkel, jika tidak terbabit (dengan pengubahsuaian motosikal), mereka tidak perlu risau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily menghadiri mesyuarat mengenai perancangan strategi memerangi lumba haram peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama 13 agensi dan jabatan berkaitan.Antaranya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Plus Malaysia Berhad (Plus), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Berdasarkan statistik polis Pulau Pinang, 91 penunggang motosikal ditahan kerana terbabit dalam aktiviti rempit menerusi operasi dan pemantauan yang dijalankan dengan pelbagai agensi di sekitar negeri ini sejak Januari hingga Ogos lalu.

Berdasarkan rekod itu, 74 daripadanya adalah Melayu diikuti India (tujuh), Cina (empat) dan lain-lain (dua).–HARIAN METRO

Loading...
Terkini