comscore
Tumpuan :
Operasi

OP PEWA : JPJ Keluarkan 239 Notis, 52 Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengeluarkan 239 notis dan menahan 52 pendatang asing atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Zulkifly Ismail, berkata operasi melibatkan 72 pegawai penguat kuasa bersama tujuh pegawai Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bermula jam 7 pagi tadi.

Beliau berkata antara kesalahan yang direkodkan termasuk tiada lesen memandu, tidak mempunyai lesen kenderaan barangan dan juga insurans kenderaan yang tamat tempoh.

“Dalam tempoh dua jam operasi berkenaan, sebanyak 58 kenderaan disita termasuk lapan buah lori, 12 van, 25 motosikal, enam forklif dan tujuh motosikal roda tiga untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi.

Zulkifly berkata kesemua individu yang ditahan melibatkan 16 warga Bangladesh, Myanmar (28), Indonesia (enam) dan India (dua) berusia antara 30-an hingga 50-an yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan susulan.

Menurutnya, dalam operasi itu turut diperiksa adalah kenderaan perdagangan lain seperti forklif, lori dan lain-lain bagi mengesan pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen serta menyalahgunakan kenderaan yang diubahsuai. – BERNAMA

Loading...
Terkini