comscore
Tumpuan :
Operasi

Puspakom Ambil Tindakan Susulan Hasil Pemantauan JPJ

Foto: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengalu-alukan usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap operasi pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan secara berkala itu akan dijalankan di kesemua 54 pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara.

“Pemantauan JPJ terhadap Puspakom itu selaras dengan Perjanjian Konsesi Pemeriksaan Kenderaan Puspakom dengan Kerajaan yang mana tahap pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu dipatuhi yang meliputi aspek penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, keselamatan kenderaan di jalan raya dan model perkhidmatan mampan.

“Hasil daripada pemantauan JPJ itu, tindakan susulan yang bersesuaian diambil serta-merta oleh Puspakom,” kata kenyataan itu.

Sebagai rekod sepanjang tahun lalu, sebanyak 741 pemantauan dilakukan JPJ ke atas pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara.
Dalam pada itu, Puspakom turut menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 kenderaan berat bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 49,772 kenderaan berat atau 15.8 peratus gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan JPJ termasuk 12,339 kenderaan berat (4.6 peratus) gagal ujian kecekapan brek.

Kata kenyataan itu, kenderaan yang gagal perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini