comscore
Tumpuan :
Nasional

Fenomena tengah hari tanpa bayang berlaku lagi

Beberapa bandar termasuklah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam akan mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang petang ini.

Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami fenomena itu pada 1.19 petang, manakala di Shah Alam 1.20 petang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, fenomena ini susulan daripada peristiwa Ekuinoks yang berlaku 21 Mac lepas apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.

“Semasa Peristiwa Ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam,”

“Peristiwa Ekuinoks juga menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan bumi pula akan mula mengalami musim luruh,”

“Fenomena ini dipanggil fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di atas sepanjang garisan khatulistiwa. Bayang kepala dan badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi,”

“Namun begitu, kedudukan Malaysia yang berada agak sedikit ke utara daripada garisan khatulistiwa menyebabkan Malaysia tidak mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada 21 Mac 2022 yang lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Malaysia telah mula mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada hari Rabu lepas, iaitu pada 23 Mac 2022 di bandar-bandar Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.

Ini diikuti bandar-bandar lain pada tarikh-tarikh berikutnya sehinggalah ke bandar terakhir iaitu Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April 2022.

Beliau turut menggalakkan orang ramai yang ingin melihat fenomena ini agar keluar rumah lebih awal untuk memerhatikan perubahan sendiri, bayang-bayang sendiri atau objek lain di sekitar kawasan.

Loading...
Terkini