comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hina Islam: Siti Nur Nuramira Abdullah Berdepan Hukuman Penjara Minimum Dua Tahun Dan Maksimum 5 Tahun

FOTO: Berita Harian

KUALA LUMPUR : Siti Nur Nuramira Abdullah, wanita yang tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menghina Islam.

Siti Nur Nuramira, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Teman lelaki wanita berkenaan, 38, pula dipercayai akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, media melaporkan, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Sabtu lalu dan direman selama empat hari hingga  hari ini, manakala teman lelakinya ditahan keesokannya serta direman selama tiga hari.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita itu yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga memaklumkan pihaknya sedang menyiasat video itu, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara serta-merta lesen kelab komedi itu susulan tular video terbabit.

Loading...
Terkini