comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan Didakwa Hina Islam Bakal Dilepaskan

KUALA LUMPUR: Pasangan didakwa menghina Islam, Siti Nuramira Abdullah dan V Alexander Navin, dijangka dibebaskan dalam masa terdekat selepas melunaskan wang ikat jamin RM20,000 setiap seorang, hari ini.

Dana untuk wang jaminan RM40,000 itu dikumpulkan melalui kumpulan memperjuang hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) hasil sumbangan orang ramai dari dalam dan luar negara.

Peguambela pasangan itu, R Sivaraj, mengesahkan urusan pembayaran wang jaminan sedang dilakukan pihaknya, namun proses itu memakan sedikit masa.

Katanya, beliau bersama seorang penjamin hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur jam 12.30 tengah hari tadi untuk menyelesaikan wang ikat jamin Siti Nuramira berjumlah RM20,000.

Sementara seorang lagi rakan peguam bersama penjamin ke Mahkamah Petaling Jaya untuk menyelesaikan wang ikat jamin Navin yang juga berjumlah RM20,000.

“Sebaik wang ikat jamin dibayar, Siti Nuramira dan Alexander Navin boleh terus dibebaskan, namun proses itu dijangka memakan sedikit masa kerana bergantung beberapa prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya ketika ditemui kepada media hari ini.

Sementara menunggu wang ikat jamin dilunaskan, Siti Nuramira, 28, ditahan di penjara satelit Beranang, manakala Navin, 38, ditempatkan di penjara satelit Kuala Kubu Bharu.

Siti Nuramira sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala Navin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya masing-masing pada 13 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Sivaraj berkata urusan pembayaran wang ikat jamin kedua-dua diselesaikan hari ini, namun anak guamnya dijangka dibebaskan selewat-lewatnya esok. – Berita Harian

Loading...
Terkini