comscore
Tumpuan :
Tragedi

Pemandu Lori Rempuh 8 Kenderaan Ditahan

Lori dipercayai gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh lapan kenderaan yang berada di hadapannya.

SERDANG: Masalah brek dipercayai punca pemandu gagal mengawal lori lalu merempuh lapan kenderaan di Lebuh Raya Puchong-Bukit Jalil berhadapan Mercedes Hap Seng, dekat sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Izuddin Ab Wahab berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah menerima laporan kemalangan melibatkan sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil dan lapan kenderaan sekitar pukul 2 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa lori berkenaan datang dari arah Bukit Jalil menghala Puchong.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh lapan kenderaan yang berada di hadapannya,” ujarnya.

Semasa kejadian didapati keadaan kenderaan di lokasi kemalangan bergerak perlahan ekoran faktor kesesakan.

Perlanggaran dipercayai berlaku ekoran masalah pada sistem brek lori yang tidak berfungsi dengan baik.

Polis menahan pemandu lori berusia 34 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semakan mendapati pemandu berkenaan mempunyai 13 rekod saman lampau yang telah dijelaskan dan berdasarkan ujian alkohol yang dijalankan mendapati negatif. 

Loading...
Terkini