comscore
Tumpuan :
Nasional

UiTM Jadi Universiti Awam Pertama Miliki & Kendali 2 Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar

LSS 2 @ USP II di Pasing Gudang, Johor. – FOTO: UiTM

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang memiliki dan mengendalikan dua stesen janakuasa solar berskala besar (LSSPV) setelah berjaya memulakan operasi komersial stesen LSSPV keduanya di Pasir Gudang, Johor.

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr Mohd Azraai Kassim, keputusan untuk memiliki beberapa stesen LSSPV secara komersial merupakan sebahagian daripada usaha universiti agar mencapai tahap neutral karbon di samping menjana pendapatan yang mampan.

“Sebagai sebuah universiti, kami mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan jejak karbon kami, dan stesen solar kedua ini amat penting bagi merealisasikan cita-cita ini,”

“Fokus utama UiTM adalah untuk memastikan kelestarian dalam segala aspek operasi universiti. Kami akan terus melangkah ke hadapan dalam menjana tenaga bersih ini dengan kerjasama semua pihak fakulti, pelajar dan industri dalam melaksanakan usaha ke arah menyediakan suasana pembelajaran yang lestari di semua kampus kami” katanya.

Stesen LSSPV yang baharu ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga solar universiti yang kini berupaya menjana 61MWp menerusi stesen LSSPV pertamanya di Gambang, Pahang yang telah memulakan operasi komersial pada April 2019.

Stesen 50MW LSS di Gambang, Pahang. FOTO: UiTM

UiTM kini berupaya menjana tenaga hijau dengan kapasiti 75MWac (92.58 MWp). Dengan peningkatan kapasiti ini, UiTM kini tergolong bersama universiti-universiti terkemuka dunia seperti University of California, Stanford University dan University of Queensland yang juga memiliki dan mengendalikan stesen-stesen janakuasa solar berskala besar.

Loading...
Terkini