comscore
Tumpuan :
Politik

1.13 juta pengundi di Pahang layak mengundi

Foto NSTP

KUANTAN: Lebih 1.13 juta pengundi berdaftar di Pahang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, sebanyak 522 pusat mengundi biasa disediakan di seluruh Pahang.

Katanya, seramai 18,558 petugas ditempatkan di pusat mengundi biasa yang diketuai oleh 14 Pegawai Pengurus SPR setiap Parlimen.

“Berdasarkan rekod, seramai 1,136,944 pengundi yang layak termasuk 21,162 orang yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada 15 November lalu.

“Bagi 522 pusat mengundi biasa itu, ia membabitkan 2,023 saluran.

“Pengundi berdaftar yang berusia iaitu 90 tahun ke atas membabitkan 2,917 orang di Pahang,” katanya.

Zamree berkata demikian kepada media selepas meninjau persiapan pusat mengundi biasa di Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol, di sini hari ini.

Katanya, pengundi berdaftar dinasihat membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak bagi memudahkan urusan.

“Melalui semakan itu, pengundi akan mendapat maklumat lokasi pusat mengundi biasa dan mengetahui saluran ditetapkan.

“Selain itu, pengundi diharap dapat mengikuti masa yang diberikan untuk mengelak berlaku kesesakan di pusat mengundi,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini