comscore
Tumpuan :
Politik

10 Ahli Parlimen tidak khianat parti – Hasni

Datuk Seri Hasni Mohammad. – FOTO: NSTP

PONTIAN: Datuk Seri Hasni Mohammad menegaskan, tindakan 10 Ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mempunyai tujuan dan sebab yang berbeza.

Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, berkata sehingga kini dirinya tertanya-tanya di mana elemen pengkhianatan seperti yang didakwa.

“Saya percaya ramai pihak yang bertanya dan ada yang sudah menjawab mengenai 10 Ahli Parlimen yang tandatangan SD sokong Perikatan Nasional (PN).

“Saya hanya boleh katakan bahawa antara 10 itu semuanya mempunyai tujuan berbeza, ada yang tandatangan sebab berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Ada juga (tandatangan SD) sebab ketetapan PAU ‘No Anwar, No DAP’, ada yang tolak DAP, ada juga yang tidak setuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia berbeza-beza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan, berkata sedia memaafkan 10 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), termasuk partinya yang menandatangani SD bagi menyatakan sokongan terhadap Pengerusi PN, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan menegaskan, beliau bersama Lembaga Disiplin UMNO akan tetap memantau pergerakan Ahli Parlimen terbabit sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, beliau sependapat dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mempersoalkan mengenai elemen pengkhianatan.

“Di mana elemen pengkhianatan, tiada pengkhianatan. Cuma kalau kita dengar cakap sesetengah pihak, saya percaya kita harus lihat soal struktur parti.

“Saya harap pucuk pimpinan parti melihat kepada isu SD dalam konteks yang boleh menambah kekuatan parti. Saya tidak lihat mereka yang tandatangan SD itu mahu melemahkan parti.

“Jika dilihat hanya seorang dua Ahli Parlimen terbabit yang buat kenyataan. Ini kerana jika kenyataan dibuat ia akan mengurangkan peluang untuk parti menang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan,” katanya.

Loading...
Terkini