comscore
Tumpuan :
Politik

16 tuduhan sabotaj ketika PRU-15 punca Noh Omar dipecat

Noh mengadakan sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penggantungan keahlian Tan Sri Noh Omar dalam UMNO disebabkan 16 pertuduhan dihadapi bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara tindakan sabotaj terbabit membabitkan soal calon yang ditampilkan untuk mewakili parti di kerusi Parlimen Tanjong Karang ketika PRU-15.

“Yang mana kita tahu ada calon, Datuk Habibah Mohd Yusof dikemukakan parti dalam PRU lalu untuk mewakili BN Tanjung Karang.

“Jadi tuduhan itu terbukti, disemak, dikaji dan disiasat Lembaga Displin. Perlu diingat calon Bebas yang bertanding di Tanjung Karang adalah pegawai khas Noh sendiri.

“Jadi tak benar jika keputusan menggantung beliau dibuat Lembaga Displin berdasarkan beliau tidak bangun menyokong usul yang dibuat,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, malam tadi.

Megat Zulkurnain berkata, Noh bagaimanapun masih boleh merayu memandangkan semua individu berpeluang untuk berbuat demikian.

“Noh ada buat kenyataan menyatakan bahawa beliau minta untuk dipecat walaupun pada peringkat awal digantung selama enam tahun. Saya fikir mesyuarat bersetuju dengan permintaan dia.

“Itu apa yang dia nak. Dia meminta dipecat dan akhirmya semua bersetuju dan dia masih ada peluang untuk membuat rayuan kalau dia nak,” katanya.

Terdahulu, MKT UMNO yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memecat keahlian Noh selepas beliau mencabar Presiden UMNO itu supaya memecat keahliannya terus daripada parti, berbanding keputusan MKT untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada PRU-15. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini