comscore
Tumpuan :
Politik

224,828 orang mengundi awal esok

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: 224,828 orang pengundi akan mengundi awal esok di 578 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.

“Bagi tujuan ini, pusat mengundi awal yang telah ditetapkan SPR akan dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Namun terdapat beberapa pusat yang akan ditutup lebih awal.

“Oleh yang demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, proses pengundian awal turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding.

SPR turut akan menyiarkan proses pengundian secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal yang terpilih.

“SPR turut menyarankan kepada pengundi awal yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Ikmalrudin berkata, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira pada hari pengundian awal dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat.

“Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 19 November 2022, bermula jam 4.00 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

Loading...
Terkini