comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilihan UMNO: 30 peratus Ketua Bahagian muka baharu

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 peratus atau 54 peneraju kepimpinan UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara adalah muka baharu selepas parti itu mengadakan Pemilihan UMNO 2023.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad ia menunjukkan  UMNO sebuah parti dinamik khususnya dalam menyubur serta mengharungi landskap politik semasa.

“Seramai 54 Ketua UMNO Bahagian ini adalah 29 peratus lebih atau kira-kira 30 peratus muka baharu. Dia bukan berlaku hanya satu negeri, tetapi berlaku secara keseluruhan.

“Contohnya di Wilayah Persekutuan, enam muka baharu; Melaka (tiga); Kelantan (lima); Johor sampai 10 muka baharu; Perak (empat); Selangor (enam) dan Perlis, tiga,” katanya pada sidang media di Auditorium UMNO di sini, hari ini.

UMNO dalam pada itu katanya perlu menekankan soal tata etika kepada seluruh perwakilannya yang terbabit dalam pemilihan pada masa akan datang.

“Kepada 190,000 ahli UMNO yang terbabit dalam proses pemilihan, kita juga tekankan soal kualiti, supaya mereka patuh soal tata etika. Supaya perwakilan akar umbi UMNO ini, mereka juga harus mempunyai kefahaman dan tanggungjawab sebagai perwakilan.

“Kalau kuantiti saja, dia bukan menandakan amalan demokrasi sebenar. Amalan demokrasi itu mesti berasaskan kefahaman dan kepatuhan kepada peraturan. Jadi itu anggapan kami sebagai JPU 2023,” katanya.

Menurut beliau, rumusan Pemilihan UMNO 2023 termasuk cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksana selepas ini akan dikemukakan  JPU kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO .

Pemilihan UMNO 2023 berakhir semalam selepas 189 bahagian UMNO daripada 191 bahagian bersidang, namun hanya dua bahagian iaitu UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran di Sabah  ditangguhkan.

Keputusan daripada dua bahagian ini termasuk dua lagi Bahagian UMNO yang digantung iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu, yang dijadual diadakan semula pemilihannya kelak, tidak akan dikira bagi penjumlahan keseluruhan keputusan Pemilihan UMNO 2023 khususnya bagi peringkat pusat.

Loading...
Terkini