comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] 5 gabungan utama meterai perjanjian sokong Kerajaan Perpaduan

Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menandatangani perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PUTRAJAYA: Lima gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menandatangani satu perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri.

Perjanjian (MoU) yang dinamakan Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan itu menggariskan kerjasama bersama bagi menamatkan kemelut politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selain mengukuhkan pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Satu perkembangan yang sangat menarik dan bermakna dalam politik negara. Capai persefahaman supaya jamin politik stabil dan angkat martabat negara maju.

“Yang disepakati bukan kedudukan tapi prinsip dan dasar,” kata Datuk Seri Anwar dalam majlis berkenaan.

MoU ini ditandatangani setiap Setiausaha Agung parti dalam gabungan dan disaksikan oleh setiap presiden parti.

Mereka termasuk Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S Padua.

Ia disusuli ketua-ketua parti turut menandatangani MoU berkenaan sambil disaksikan Setiausaha Agung parti masing-masing.

Mengiringi Anwar adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri II.

Antara yang hadir adalah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal,Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Sallahuddin Ayub, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Loading...
Terkini