comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: 4 Menteri, 4 Timbalan Menteri tidak dicalonkan

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri),Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kiri),Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (lima kiri) dan calon-calon BN di Majlis Pengumuman Calon PRU-15 Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Empat menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mereka adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang membuat penampilan semula dinamakan sebagai calon di Kota Tinggi menggantikan Halimah.

BN mempertaruhkan muka baharu di Parlimen Arau iaitu Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman manakala Ketereh oleh Ketua Puteri Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin.

BN turut meletakkan calon muka baharu di Tenggara iaitu Ketua Pemuda UMNO Tenggara, Mandzri Nasib.

Sementara itu, selain beberapa menteri, empat timbalan menteri juga digugurkan.

Mereka ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib yang tidak dicalonkan semula di kerusi Parlimen Maran.

Turut digugurkan, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Parlimen Jasin.

Beliau sebelum ini mengumumkan untuk tidak bertanding dalam PRU ke-15 (PRU-15) kali ini.

Juga tidak dinamakan semula, ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Tempat Zahidi digantikan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan manakala kerusi Parlimen Maran diwakili EXCO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman dipertaruhkan di kerusi Parlimen itu manakala Jasin pula, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini