Tumpuan :
Politik

50 tahun Barisan Nasional: UMNO, BN tidak sedetik melupakan nasib Najib Razak – Ahmad Zahid

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada sambutan ulangtahun ke-50 Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN dan UMNO tidak pernah melupakan nasib yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak dipenjarakan dua tahun lalu.

Sebaliknya ujar Timbalan Perdana Menteri itu, nasib bekas Ahli Parlimen Pekan itu sentiasa menjadi agenda utama dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Sebagai seorang sahabat beliau sejak tahun 1987, mustahil untuk kita melupakan bossku (Najib Razak).

“Kami memahami perasaan MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Saya dan rakan-rakan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO setiap kali mesyuarat bulanan tidak terlepas isu bossku menjadi antara agenda kita terus bawa.

“Mustahil untuk kita melupakan beliau, (tetapi) kita ada halangan, kekangan ini difahami oleh keluarga, difahami beliau (Najib) sendiri tapi yakinlah UMNO dan BN tidak akan sedetik pun melupakan nasib bossku berada di belakang tabir besi sekarang ini,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid, ada perkara yang boleh dan tidak boleh dikongsi bersama mengenai perkara itu, namun beliau yakin nasib Najib akan terbela apabila tiba masanya.

“Ada perkara boleh dikongsi bersama, ada perkara tidak boleh dikongsi bersama. Tidak terdetik di hati kami, bahawa bossku mesti berada di tabir besi itu.

“Kita bersimpati, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kita tahu bukan mudah beliau menghadapi ujian ini, namun saya amat yakin bahawa cahaya yang terang akan terus datang daripada hujung terowong untuk menerangani beliau keluarga dan semua,” katanya lagi.

FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Majlis Sambutan 50 Tahun BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika berucap di pentas sama menyuarakan perlu ada tindakan bagi membela nasib bekas Presiden UMNO itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini