comscore
Tumpuan :
Politik

6 Ahli Parlimen BERSATU kekal status quo, belum terima surat tunjuk sebab

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepoada Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan belum menerima apa-apa surat tunjuk sebab susulan kelulusan pindaan perlembagaan parti itu berkaitan berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sekali gus mengesahkan tiada perubahan berlaku pada status mereka sebagai ahli parti dan juga Ahli Parlimen.

“Hingga hari ini, kami belum terima apa-apa surat tunjuk sebab, dan kami kekal status qou… tiada apa-apa yang berubah (dengan status kami),” katanya sebagai mewakili kelompok enam Ahli Parlimen terbabit.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan adalah Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Pada 2 Mac lalu, BERSATU melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) meminda perlembagaan parti itu bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.

Pindaan membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Pindaan dibuat selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terkini, Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata beliau bersama lima rakan Ahli Parlimen berkenaan tidak akan menarik kembali sokongan diberikan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

“Kami akan terus beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.

“Sokongan kami kepada Perdana Menteri hanya untuk mengukuhkan pentadbiran Persekutuan dan membolehkan beliau terus membangunkan negara.

“Kami yakin dengan keputusan yang sudah kami buat dan tak akan sesekali berundur,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini