comscore
Tumpuan :
Politik

Ada Tokoh Politik Mahu Guling PM Lebih Awal – Mat Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, (Foto: NSTP)

ALOR GAJAH: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, mendedahkan seorang tokoh politik popular ada menemuinya dengan hasrat bekerjasama menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Menteri Pertahanan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama ahli politik dimaksudkannya itu, termasuk daripada parti mana.

Bagaimanapun, beliau berkata tokoh politik itu hadir menemuinya untuk menggulingkan pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri, sebelum pengumuman pembubaran Parlimen, baru-baru ini.

Mohamad atau dikenali Mat Sabu, berkata selain dirinya, tokoh politik berkenaan turut berjumpa beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pertemuan itu juga bermotifkan matlamat sama iaitu untuk meraih sokongan, sekali gus bergabung bagi membentuk kerajaan baharu.

“Dia datang jumpa kami berkali-kali. Dia kata `Mat tolonglah Mat, sokong kami kali ini, saya nak jadi perdana menteri’. Kalau Ismail Sabri tak membubarkan Parlimen, manakala Yang di-Pertuan Agong (juga) tidak mahu membubarkan Parlimen, itu bermakna perdana menteri baharu akan dilantik.

“Saya kata, takkanlah kita nak ikut Britain yang mana perdana menteri silih berganti dalam masa 44 hari, (sedangkan) dasar Ismail Sabri belum lagi berjalan, dah nak datang perdana menteri baharu pula.

“PH menolak hasrat tokoh politik itu, kita kata ‘enough is enough’ (cukup-cukuplah). Kamu bubar saja Parlimen dan kita berdepan dengan pilihan raya walaupun (kemungkinan) banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah sempena Program Jelajah Mega Harapan Melaka dan pelancaran jentera PH Melaka oleh Anwar di Sungai Petai, Rembia, di sini, malam tadi.

Pembubaran Parlimen diumumkan Ismail Sabri pada 10 Oktober lalu, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini