comscore
Tumpuan :
Politik

Ahli politik perlu ubah mentaliti tuntut ‘harta rampasan perang’ – Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu mengubah mentaliti mahu menuntut ‘harta rampasan perang’ selepas melakar kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menagih jawatan Menteri.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan konsep Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya percaya pemimpin politik perlu mendahulukan rakyat daripada memikirkan untuk merebut jawatan tertentu.

Atas dasar itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya mahu pemikiran yang berlandaskan ke arah itu diubah.

“Sekarang harga barang semakin naik. Saya perasan apabila saya pergi ke kedai dan restoran di sekitar Lembah Pantai.

“Anda boleh berjuang untuk jawatan yang anda mahukan, tetapi hakikatnya rakyat menderita,” katanya melalui temubual khas pasca PRU-15 bertajuk ‘Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan’ yang disiarkan RTM, di sini.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pasca PRU-15 menyaksikan gabungan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada masa sama, Fahmi berkata, kerajaan baharu dipimpin Pengerusi PH itu sedang mengambil alih negara pada masa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Justeru, katanya, kerajaan baharu ini tidak boleh melakukan kesilapan dalam berdepan kemelesetan yang semakin hampir melanda banyak negara di seluruh dunia tahun depan.

“Jadi kita mesti memilih (menteri) terbaik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara,” katanya.

Mengenai soal melaksanakan reformasi untuk negara dengan Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata, adalah penting untuk mencari jalan tengah apabila bekerjasama dengan parti yang pernah menjadi saingan mereka, demi melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Beliau berkata, pembaharuan bukan bertujuan untuk kembali kepada pihak tertentu, tetapi untuk mengatasi masalah dan membina masa depan yang lebih baik.

“Sebagai contoh, jika kita bercakap mengenai rasuah, pembaharuan bermakna mencari jalan untuk menutup kelemahan supaya rasuah tidak lagi boleh berlaku,” katanya.

Fahmi berkata, beberapa bahagian undang-undang juga boleh diperkukuh antara membabitkan keselamatan data peribadi yang mana ia boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini