comscore
Tumpuan :
Politik

Aku janji tular tidak benar, Ismail Sabri masih calon PM

Khairy Jamaluddin

SUNGAI BULOH: Aku janji menggunakan kepala surat UMNO yang ditularkan kononnya mengandungi ikrar calon parti untuk mencalonkan dan menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak betul.

Mengesahkan perkara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, berkata aku janji yang ditandatangani semua calon menggunakan kepala surat BN berkait lompat parti dan kesetiaan kepada parti.

“Aku janji yang tular itu memang tidak betul. Saya calon BN, aku janji tular yang kononnya ditandatangani oleh Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah atas kepala surat UMNO.

“Pertamanya, kita bertanding atas BN, kita tandatangani aku janji yang ada kaitan dengan lompat parti, kesetiaan kepada parti atas kepala surat BN.

“Yang itu yang saya sign (tandatangan).. tidak ada saya sign letter head (kepala surat) UMNO yang memberi aku janji seperti mana ditularkan,” katanya kepada media selepas Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Khairy juga mengesahkan calon Perdana Menteri bagi BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Calon Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri.. noktah.. itu adalah pendirian Barisan Nasional yang diumumkan Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri.

“Undi BN dapat Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, tular dokumen dengan kepala surat UMNO memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi BN dan Ahmad Maslan, selepas pengumuman rasmi calon BN pada Selasa.

Isi kandungan aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU-15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Dokumen tular itu turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU-15. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini