comscore
Tumpuan :
Politik

Annuar Dedah Surat Ahmad Zahid Sokong Anwar

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tampil mendedahkan surat sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bertarikh 11 Oktober.

Tan Sri Annuar mengesahkan surat itu tulen selain mendakwa tindakan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya tahu semua sekali, dan surat ini saya sudah semak banyak pihak surat ini adalah tulen, dalam surat ini antara perkara yang disebut adalah untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim” katanya.

Tan Sri Annuar turut membongkar tindakan Ahli Majlis Tertinggi diperingkat pimpinan yang telah mengadakan beberapa kali rundingan dengan DAP untuk membentuk satu gabungan yang baginya bercanggah dengan dasar parti.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas, di Putrajaya bagi menjawab kepada pemecatannya sebagai Setiausaha Agung BN, semalam.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan, Tan Sri Annuar menegaskan beliau tidak mahu bersubahat dengan hala tuju Presiden UMNO itu selain redha dengan pelucutan jawatannya sebagai Setiausaha Agung BN

“Dengan perbezaan prinsip ini, adalah lebih baik saya tidak bersubahat dengan halatuju Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dengan tidak lagi menjadi SU Agung BN saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan ‘conscience’ saya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran”.

“Justeru, saya dengan penuh redha menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT. Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan UMNO dan akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin Penyatuan Ummah dan menunjangi permuafakatan nasional” katanya.

Loading...
Terkini