comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Annuar, isteri Shahidan antara 3 dipecat UMNO – Sumber

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipercayai antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Laporan BH memetik sumber memaklumkan, dua lagi adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

 

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU sebelum ini.

Manakala Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas mesyuarat selesai.

Annuar dalam tulisan di Facebooknya memberi isyarat kekecewaannya atas keputusan itu, selain berkongsi gambar membantu kempen BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Tangkap layar di Facebook Tan Sri Annuar Musa. – FOTO: Facebok/ Tan Sri Annuar Musa

“Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada ‘main switch’ dah ‘short circuit’ atau wayarnya terputus. Saya sayang rumah itu.Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar. Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.

“Walaupun saya amat sayang rumah itu,saya hanya mampu berdoa,” katanya memohon supaya ‘rumah’ yang terbakar itu diselamatkan.

Loading...
Terkini