comscore
Tumpuan :
Politik

Anthony Loke kekal terajui kepemimpinan DAP Negeri Sembilan

Loke (tiga dari kanan) memasukkan kertas undi bagi pemilihan Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini. – Foto: NSTP

SEREMBAN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kekal menerajui kepemimpinan DAP Negeri Sembilan selepas dipilih sebagai pengerusi bagi penggal 2024-2027.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2004 dipilih dalam kalangan 15 ahli jawatankuasa baharu pada pemilihan Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan bersempena Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20, hari ini.

Jawatan Timbalan Pengerusi turut kekal disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban memperoleh 571 undi daripada 658 perwakilan yang hadir pada pemilihan berkenaan, manakala Gunasekaren memperoleh sebanyak 482 undi.

Dua jawatan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan masing-masing disandang oleh dua orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan iaitu, J Arul Kumar dan Teo Kok Seong.

Arul Kumar memperoleh undi kedua tertinggi sebanyak 533 undi, manakala Kok Seong (415 undi).

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin juga kekal diberi kepercayaan sebagai Setiausaha DAP Negeri Sembilan.

Loke berkata, terdapat empat muka baharu yang ditampilkan pada jawatankuasa yang dipilih kali ini.

“Perwakilan DAP Negeri Sembilan sangat matang, mereka tahu menilai apa yang terbaik dengan memilih mereka dari kalangan yang berpengalaman dan muka baharu.

“Barisan ini akan memimpin DAP Negeri Sembilan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini