comscore
Tumpuan :
Politik

Anwar mohon kebenaran pemimpin PH masuk Sarawak

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk menarik balik larangan terhadap beberapa pemimpin utama PH untuk memasuki Sarawak ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anwar berkata, beliau berharap agar Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dapat memberi kelonggaran bagi membolehkan pemimpin parti pembangkang membantu calon mereka di negeri ini sepanjang tempoh berkempen.

“Besar harapan saya agar permohonan ini (menarik balik larangan masuk Sarawak) dapat diberi perhatian oleh beliau (Abang Johari).

“Pihak kami juga tidak mahukan sebarang isu atau konflik dengan kerajaan Sarawak,” kata Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kenyataan, hari ini.

Ketika kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Disember tahun lalu, dua pemimpin PH diarah balik semula sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Mereka ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Datuk Ngeh Koo Ham dan pemimpin PKR Wong Chen.

Sebelum itu beberapa ahli politik termasuk Mohamad Sabu, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Zuraidah Kamaruddin pernah disenarai hitam daripada memasuki Sarawak.

Malah ada juga pemimpin Umno seperti Datuk Seri Jamal Mohd Yunos turut dilarang masuk kerana dikhuatiri mampu menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sarawak.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini