comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Anwar mula galas tanggungjawab sebagai PM 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dengan terimbasnya kad perakam waktu di Bangunan Perdana Putra di sini jam 10 pagi tadi, maka secara rasmi  Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menggaalas amanah dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ke-10 .

Tumpuan kini terarah kepada urusan pentadbiran negara menerusi kerajaan perpaduan yang diterajuinya, termasuk pembentukan Kabinet.

Dengan  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata beliau kini mempunyai sokongan dua pertiga Parlimen.

Apa pun, usaha menyatukan parti-parti politik yang berbeza ideologi  antara cabaran awal yang perlu dihadapi beliau.

Isu saiz kabinet juga pastinya menjadi perhatian banyak pihak.

Foto: UKK JPM

Pada sidang media hari ini, Anwar menzahirkan komitmennya bahawa saiz kabinet diterajui beliau akan lebih kecil, malah gaji mereka juga akan dikurangkan.

“Saiz Kabinet kecil dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu bersetuju dengan usul saya untuk kurangkan gaji mereka.

“Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan,” katanya.

Turut menjadi keutamaan Anwar ialah kos sara hidup dan kenaikan harga barangan  yang menekan rakyat.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara berkenaan, selewat-lewatnya Isnin depan.

“Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup walaupun ada yang positif, umpamanya kekuatan ringgit dan soal Bursa Saham yang lebih positif, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap pentadbiran sekarang.

“Namun, saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam serta menekan kehidupan rakyat.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada jam 9.52 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis BMW hitam diiringi beberapa kenderaan pengiring polis, bagi memulakan tugas secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.

Pintu Protokol bangunan berkenaan yang menjadi laluan masuk kenderaan rasmi Perdana Menteri menjadi tumpuan pengamal media pagi tadi untuk merakam detik bersejarah itu.

Kira-kira 30 petugas media tempatan dan antarabangsa  berkampung di sini sejak jam 7 pagi, biarpun mengetahui bahawa Pengerusi Pakatan Harapan itu hanya akan tiba jam 10 pagi.

Terdahulu sekitar jam 7.45 pagi tadi, kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra, disusuli kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada jam 8.17 pagi.

Semalam, Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada jam 5.06 petang.

Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan sahaja menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Presiden PKR itu untuk bergelar Perdana Menteri.

Loading...
Terkini